Assalamualaikum...
Bismillah.
Semoga sentiasa dalam rahmat dan kasihNya^^
Sekarang boleh kata hampir semua IPTA sedang bercuti. USM juga tidak terkecuali. Di sini saya ingin cerita sedikit mengenai mesyuarat DPPUSM. Pada 10 November 2012 (Sabtu) yang lalu, mesyuarat Dewan Perundingan Pelajar Universiti Sains Malaysia (DPPUSM) telah diadakan. Jika dahulu, saya berada sebaris dengan Speaker Dewan (selaku Setiausaha Dewan), kini saya diberi berpeluang untuk menjadi Pemerhati Dewan pula.
zaman dolu-dolu (akhir 2010 - awal 2012) |
Dalam mesyuarat DPPUSM kali ini, saya mewakili PERKIM USM telah menghantar usul yang berkaitan perfileman. Alhamdulillah, usul dan semua tuntutan kami telah diterima oleh ahli dewan dengan majoriti undian. Berikut adalah usul kami :-
TAJUK:
MENAPIS FILEM YANG
BERUNSURKAN AGAMA ISLAM MELALUI PIHAK JABATAN AGAMA ISLAM SEBELUM DITERBITKAN
JUSTIFIKASI:
Hari ini, industri perfileman semakin
berkembang luas. Banyak rancangan yang disajikan kepada masyarakat mempunyai
tema dan gayanya yang tersendiri. Filem yang berunsurkan agama juga tidak
terkecuali. Malah ia amat disambut baik oleh masyarakat. Sebagai contoh, rancangan
televisyen bertajuk “Tanah Kubur” begitu terkesan penyampaiannya di hati
masyarakat yang menontonnya. Namun demikian, terdapat sesetengah filem yang
berunsurkan agama ini telah mencetuskan kontroversi melalui adegan-adegan yang
ditunjukkan dalam filem tersebut. Antara filem yang dimaksudkan ialah filem “7
Petala Cinta”. Hal ini disebabkan oleh beberapa adegannya yang tidak kena
dengan cara yang digariskan dalam syariat Islam.
TUNTUTAN:
1. Pihak Lembaga Penapisan Filem
(LPF) perlu mewujudkan kembali peranan asal LPF dalam menapis filem khususnya
dalam filem yang berunsurkan agama Islam.
2. Pihak LPF
perlulah menapis filem yang membawa tema agama Islam dengan menambah bilangan
penilai Panel Agama Islam @ Panel Syariah Bahagian Filem yang dilantik JAKIM
dengan kepakaran-kepakarannya tersendiri sebelum proses pembikinan filem
dimulakan dan diterbitkan. Antara panel syariah yang terkenal dan tersohor di
Malaysia ialah Dr. Zaharuddin (Ahli Panel Kajian Syariah,
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)) dan Dr
Zulkifli Mohamad Al-Bakri (berpengalaman
sebagai Ahli Panel Kajian Akidah dan Syariah, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia
(JAKIM)).
3. Pihak produksi filem perlu menjalankan
kajian dan penyelidikan terlebih dahulu sebelum memahami dan membawa naskhah
keagamaan tersebut ke layar perak.
4. Pihak JAKIM
perlu lebih teliti dan tegas dalam menapis filem yang berunsurkan agama memandangkan
pihak JAKIM telahpun mempunyai kerjasama dengan pihak LPF bagi Filem Tapisan
Kendiri bahagian Agama. Hal ini adalah untuk mengelakkan salah faham mengenai
agama Islam melalui pembawakan dalam filem tersebut dan juga mengelakkan dari
berlakunya perbuatan mempersendakan agama secara tidak langsung.
-----------------------
Demikianlah usul tersebut. Semoga usaha yang kecil ini memberi impak yang besar pada masa akan datang. Semoga usul ini benar-benar dilaksanakan oleh pihak yang disebutkan.
"Kerana sayangkan agama, kerana sayangkan ummat ini"
Moga Allah redha dan berkati. Aamiin.