Assalamualaikum...
Bismillah.
Semoga sentiasa dalam bahagia^^
Memandangkan ramai antara kita begitu minat share artikel2 tentang cinta, buat status tentang cinta, gambar2 tentang cinta, maka dalam post kali ini saya ingin berkongsi tentang aspek yang paling penting dalam menuju cinta yang halal. Iaitu MAHAR.
Bukanlah aku sengaja melindungi rasa di jiwa
Namun bimbang diri kan terleka
Hanyut dibuai angan dan mimpi indah hingga terabai segala cita
Sedang khayalan tak menjanjikan
Segunung kebahagiaan sebagai mahar hantaran..
Apakah mungkin engkau mengerti
Setiap cinta yag dilafazkan
Bukanlah sekadar mainan
Tetapi sebuah janji..
Kata2 di atas merupakan antara rangkap yang ada dalam lirik lagu nasyid. Bagi para peminat nasyid, sudah tentu lagu MAHAR CINTA nyanyian kumpulan DEVOTEES sudah tidak asing lagi :)
MAHAR. Perkara yang paling penting dalam sebuah perkahwinan yang ingin didirikan. Bahkan dalam hadis Rasulullah juga ada menyatakan bahawa perkahwinan yang paling berkat adalah perkahwinan yang paling rendah maharnya.
Sebelum kita pergi lebih jauh dalam soal ini, saya ingin membawa teman2 sekalian menyusuri sejarah kedatangan Islam dalam mengangkat martabat wanita. Umum telahpun mengetahui bahawa salah satu daripada objektif penurunan Al-Quran adalah untuk memartabatkan kedudukan wanita dalam Islam. Al-Quran telah mengangkat kedudukan wanita yang dilihat sebelum kedatangan Islam sebagai golongan kelas kedua, tidak mempunyai hak dan yang lebih malang sekali wanita dihina dan dianggap sebagai barang dagangan pada waktu itu.
Keadaan ini sungguh menyedihkan kerana wanita pada zaman jahiliyyah seolah-olah tidak diiktiraf sebagai manusia yang mempunyai nilai peribadi dan akal. Walau serendah manapun keadaan wanita pada zaman jahiliyyah, kita masih dapat mengenali tokoh wanita hebat seperti Saidatina Khadijah r.a yang dikenali sebagai seorang usahawanita berjaya berjaya sebelum berkahwin dengan Baginda Rasulullah s.a.w.
Kewujudan tokoh seperti Saidatina Khadijah r.a ini menggambarkan bahawa sesuatu yang tidak mustahil bagi seorang wanita untuk memiliki dan memperolehi harta dan berkeupayaan secara peribadi untuk menguruskan hartanya. Apatah lagi dalam abad ke-21 Masihi ini, apabila dunia menyaksikan bahawa wanita telah menceburi pelbagai sektor pekerjaan dan berupaya memperolehi, menjana dan menguruskan harta mereka sendiri. Maka dalam hal ini, wanita Islam perlu memahami hak-hak kewangan mereka yang telah ditetapkan dalam Islam.
Hal ini kerana, walaupun ramai wanita telah berjaya memperolehi harta melalui daya usaha mereka sendiri ataupun secara perkongsian namun masih lagi terdapat wanita Islam yang tidak berkesempatan dan kurang bernasib baik untuk memiliki harta terutama untuk menjamin kehidupan mereka sendiri dan keluarga.
Sehubungan dengan itu...
Mahar Dalam Perundangan Islam
Mas kahwin adalah suatu yang wajib dibayar oleh seorang lelaki kepada perempuan semasa akad nikah. Ia boleh dibayar melalui kaedah tunai mahupun berhutang. Dalam masyarakat kita, mahar lazimnya dibayar secara tunai.
Mahar digambarkan sebagai suatu imbalan kenikmatan yang dikecapi oleh pasangan suami isteri. Bukan sekadar itu sahaja, ia lebih merupakan simbol penghormatan suami terhadap isteri. Hal ini kerana, mas kahwin merupakan suatu hak kewangan yang pertama sekali diterima oleh seseorang yang bergelar isteri dan diiktiraf haknya dalam Al-Quran.
Hak kewangan ini tidak dinikmati oleh seorang isteri pada zaman jahiliyyah kerana mas kahwin itu dibayar oleh suami kepada bapanya. Pengiktirafan yang Allah berikan kepada wanita Islam ini dapat dilihat dalam surah al-Nisa' ayat 4 yang bermaksud, "Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin sebagai pemberian yang wajib."
Daripada ayat ini, kewajipan pertama seorang suami dalam perkahwinan adalah memberi mas kahwin dan ia menjadi hak mutlak isterinya. Al-Quran dengan terangnya menjelaskan hak mutlak tersebut dan tiada siapa boleh mengganggu pemilikannya apatah lagi mengambil dan memanfaatkannya dari mas kahwin yang telah diberikan, baik keluarganya sendiri mahupun suaminya melainkan dengan keizinan isteri tersebut.
Firman Allah dalam surah al-Nisa' ayat 20 yang bermaksud, "Janganlah kamu mengambil sedikitpun harta itu, patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar atau menyebarkan dosa yang nyata."
Allah telah memberi jaminan hak mas kahwin kepada wanita sehingga menyebut mereka yang mengambilnya dengan jalan yang tidak dibenarkan oleh syarak, akan berdosalah mereka itu. Bagaimanapun, ini tidak bermakna mahar tersebut tidak langsung boleh dimanfaatkan oleh sesiapa. Maka cara yang terbaik untuk mendapat faedah darinya adalah dengan keizinan dan keredhaan dari pemiliknya.
Ini ditegaskan Allah dalam surah Al-Nisa' ayat 4 yang bermaksud, "Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat lagi baik kesudahannya." Maknanya, mas kahwin adalah sesuatu yang boleh digunakan oleh pemiliknya dan boleh juga dimanfaatkan oleh orang lain serta menggambarkan bahawa mas kahwin itu mestilah dari sesuatu yang bernilai dan dapat memberi faedah yang besar kepada sesiapa yang ingin mendapat manfaat darinya. Sebagaimana yang berlaku terhadap perkahwinan Sofiah dengan Rasulullah, iaitu baginda bersabda yang bermaksud : " Bahawa Rasulullah s.a.w telah memerdekakan Sofiah dan menjadikan kemerdekaanya itu sebagai mas kahwinnya."
Walaupun mas kahwin dalam hadis di atas bukannya sesuatu yang berbentuk wang ringgit atau barangan, namun kemerdekaan itu merupakan sifat yang menggambarkan sesuatu yang boleh mendatangkan faedah yang sangat besar terutama sekali pada isteri tersebut iaitu Sofiah. Hukum syarak juga tidak menetapkan sebarang had minimum dan maksimum kadar mahar untuk seorang isteri. Ini bermaksud terpulang kepada individu untuk memberikan mas kahwin tersebut mengikut kemahuannya dengan mengambilkira kemampuan suami dan kemanfaatan kepada isteri.
Berkenaan mahar yang paling rendah lebih diberkati, ia adalah bertujuan untuk membolehkan pemuda-pemuda berkahwin dan janganlah disebabkan mahar yang tinggi, pemuda tidak boleh berkahwin. Walau bagaimanapun, hadis ini tidak melarang sesuatu mahar itu dibayar dengan kadar yang tinggi, cuma ia akan dianggap sebagai makruh di sisi hukum syarak tetapi perkahwinan tetap sah.
Kalaupun suami enggan membayar mas kahwin tersebut, isterinya mempunyai hak untuk menolak perhubungan intim dengan suaminya sehinggalah ditunaikan mas kahwin tersebut. Bahkan jika suami tersebut mati sebelum melunaskan mas kahwin tersebut, maka mas kahwin itu akan menjadi hutang dan wajib dilangsaikan oleh warisnya sebanyak mana mas kahwin yang belum dibayar. Beginilah gambaran yang syarak telah berikan bagi menunjukkan kekuatan mas kahwin itu sebagai hak mutlak seorang isteri.
Mahar Dalam Konteks Semasa
Pembayaran mahar dalam masyarakat kita tidak pernah dilihat pada status ekonomi isteri dan keluarga tersebut. Sebaliknya faktor-faktor pendidikan, keturunan keluarga dan status sosio-ekonomi hanya akan dititikberatkan dalam menentukan wang hantaran dan pelbagai hadiah iringan. Kadangkala, status sosio-ekonomi perempuan dan keluarganya dijadikan sebagai kayu ukur dalam menentukan kadar mahar. Semakin tinggi wang hantaran, semakin tinggilah status kelurga isteri tersebut di mata masyarakat. Sedangkan dalam sesetengah masyarakat kita, kadar mahar dan kepentingannya tidak diberi sebarang nilaian.
Pembayaran mahar juga bukan sekadar 'melepaskan batuk di tangga' dan bukanlah sekadar suatu kewajipan tanpa memikirkan nilainya dan faedah pemberiannya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa mahar mempunyai kegunaan tertentu sama ada untuk kegunaan peribadi seperti membeli pakaian atau barangan kemas dan sebagainya atau mahar boleh digunakan untuk kegunaan yang lebih besar terutama sekali ke arah pertumbuhan ekonomi keluarga mahupun negara.
Hukum syarak tidak pernah menentukan kegunaan mahar tetapi yang dipastikan hanyalah untuk dimanfaatkan pada sesuatu yang lebih besar terutamanya kepada pemiliknya. Sebagai contoh, mahar tersebut boleh dijadikan modal perniagaan atau dilaburkan pada mana-mana institusi perniagaan atau kewangan, pembelian saham atau apa sahaja dengan tujuan untuk pertumbuhan ekonomi.
Pendekatan ini sebenarnya boleh menunjukkan bahawa mahar itu boleh menaikkan taraf sosio-ekonomi isteri tidak kira sama ada isteri itu bekerja atau tidak. Kesemua ini bertujuan memanfaatkan wanita dan menjadi satu jaminan kewangan sekiranya berlaku kematian atau perceraian dalam perkahwinan tersebut. Malah, bukan setakat itu sahaja, mahar juga boleh terdiri dari apa jua asalkan sesuatu yang tidak bertentangan dengan kehendak syarak umpamanya membelikan isteri tanah atau rumah atau sebagainya. Bagaimanapun, satu perkara yang perlu diingatkan di sini ialah baik apa sahaja bentuk mahar yang hendak diberi, ia mestilah mengikut kemampuan dan keredhaan suami dan terpulang kepada isteri tersebut untuk menggunakan mahar tersebut dengan cara yang bijaksana.
Akhirul kalam, jadikanlah mahar itu benar-benar berperanan menaikkan taraf wanita sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam dan janganlah sama sekali merugikan pihak isteri dan tidak pula membebankan pihak suami agar wujud perseimbangan antara kadar yang tinggi dan rendah.
#perkongsian melalui Prof. Madya Dr. Raihanah Haji Abdullah, Jabatan Syariah dan Undang-undang, APIUM. Wallahu'alam. Moga Allah redha.
No comments:
Post a Comment